Program Hari Terbuka PEDI Bersama Komuniti 2022

22 December 2022 | Berita Semasa

‘Program Hari Terbuka PEDI Bersama Komuniti 2022’ merupakan acara tahunan yang diadakan untuk menghargai sokongan komuniti setempat kepada Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Felda Gunung Besout 5. Program ini telah diadakan pada 17 Disember 2022 bersamaan hari Sabtu di Dewan Semai Bakti Felda Gunung Besout 5.

Program kali ini lebih fokus ke arah keusahawanan di mana ia diadakan bertujuan untuk menarik minat lebih ramai usahawan muda yang berpotensi besar terutama dari kalangan belia dan beliawanis. Selain itu, program ini juga dapat mendidik dan meningkatkan kesedaran awam tentang keselamatan di Internet serta mencungkil bakat dan kreativiti semua peringkat umur.

Program dimulakan dengan Bengkel Keusahawanan iaitu Bengkel Smartphone Photography & Editing serta Bengkel Canva-Reka Label/Stiker Produk yang telah diadakan lebih awal iaitu pada 7 dan 8 Disember 2022. Melalui bengkel ini, para peserta didedahkan tentang teknik dan aplikasi yang sesuai untuk mengedit gambar dan menghasilkan stiker produk menarik. Pada akhir bengkel, peserta diberikan tugasan dan perlu mempersembahkan hasil kerja masing-masing untuk dinilai. Seramai 8 orang usahawan terlibat dalam kedua-dua bengkel yang telah diadakan ini. Turut diadakan pertandingan Poster Kreatif dengan tema Klik Dengan Bijak serta pertandingan video Ilham Kreatif yang mana peserta perlu menghasilkan produk daripada barangan terpakai seperti tayar, botol dan sebagainya.

Pelbagai aktiviti dan pertandingan telah diadakan pada program penutup pada 17 Disember 2022 antaranya Pertandingan Explorace “Jejak Usahawan Besout 5” yang mana para peserta perlu menyelesaikan beberapa tugasan di setiap checkpoint yang merupakan tapak projek tanaman atau penternakan usahawan yang terdapat di Felda Gunung Besout 5. Kemudian aktiviti diteruskan dengan Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, Pertandingan Kraf “DIY Penanda Buku”, STEM Projek “DIY Mini Vacuum” dan STEM Activiti yang lain. Program diteruskan dengan Perkongsian Lestari “Potensi Penternakan Arnab Pedaging” serta Pertandingan “Waste to Wealth” yang mana peserta perlu menghasilkan produk kraf iaitu keychain daripada kulit/bulu arnab. Selain itu turut diadakan pertandingan kuiz teka dan menang, word search Klik Dengan Bijak (KDB), QR Code Challenge dan program KITAR atau dahulunya dikenali sebagai Mobile E-Waste.

Selain itu, Saringan Kesihatan Percuma dan Kaunter Peka B40 daripada Klinik Kesihatan Daerah Muallim juga turut dibuka untuk komuniti setempat serta pameran mini zoo arnab pedaging milik pengusaha Arnab Besout 5 iaitu saudara Azlee Helmi bin Sumairiy. Majlis penutup dimulakan pada jam 2.30 petang setelah semua pertandingan selesai. Majlis penutup turut dihadiri oleh Pengurus Felda Gunung Besout 5 iaitu Encik Anuar bin Othman. Majlis penutup dan penyampaian hadiah berlangsung sehingga jam 5.00 petang.